KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan dua syarikat bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam pembangunan sektor pertanian, termasuk pertanian komersial, penanaman padi, agroteknologi dan pemindahan teknologi di Sabah.
Dua syarikat terbabit ialah Cosmos International Sdn Bhd dan Tetap Kilat Sdn Bhd yang memeterai MOU berkenaan dalam satu majlis di sebuah hotel di sini, hari ini.
MOU berkenaan ditandatangani Timbalan Pengerusi PPNS, Datuk Ng Loi Tect, bagi pihak pertubuhan itu, manakala Cosmos International diwakili Pengurus Besar, Jordan Chung dan Wakil Pengarah, Jin Zhaoyu, serta Tetap Kilat oleh pengarahnya, Desmond Lo.
Majlis menandatangani MOU itu disaksikan oleh Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sabah, Tuan Haji Fitrisubroto Haji Yahmin, Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah dan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPNS.
Mohd Nazri berkata, kerjasama strategik berkenaan bertujuan meneroka dan membangunkan pelbagai bidang pertanian komersial, termasuk penanaman padi, agroteknologi, mekanisasi, pengairan serta pembangunan infrastruktur pertanian.
Katanya, ia turut merangkumi aspek pemprosesan hiliran, rantaian bekalan, latihan dan pemindahan teknologi bagi memberi manfaat kepada komuniti peladang serta menyokong keselamatan makanan Sabah.
Menurutnya, menerusi persefahaman itu, Cosmos International berperanan sebagai rakan teknikal dan pelaburan pilihan, manakala Tetap Kilat bertindak sebagai rakan strategik tempatan serta penyelaras utama di Sabah.
Mohd Nazri berkata, PPNS pula akan memudah cara hubungan dengan komuniti peladang dan pihak berkepentingan, selain memberikan sokongan institusi mengikut fungsi serta kapasitinya.
“Peluang projek yang dikenal pasti menerusi kerjasama itu akan dimaklumkan dan dibincangkan terlebih dahulu antara pihak terbabit sebelum pelaksanaan dibuat.
“Pembiayaan, pelaburan, pengurusan serta pengagihan hasil bagi setiap projek akan ditentukan menerusi perjanjian berasingan, tertakluk kepada persetujuan bersama dan kelulusan dalaman PPNS”, katanya.
MOU berkenaan berkuat kuasa selama dua tahun mulai tarikh ditandatangani dan boleh diperbaharui berdasarkan persetujuan bersama.
“Kerjasama itu diharap dapat membuka ruang kepada pembangunan pertanian yang lebih komersial dan berteknologi, selain memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan manfaat kepada komuniti peladang di Sabah”, tegasnya.-pr/BNN





