498 terima sumbangan ramadan dari TKM

0
255
Yahya menyerahkan sumbangan Ramadhan kepada anak-anak yatim di majlis itu.
Yahya menyerahkan bakul makanan kepada warga emas sambil dibantu oleh pemimpin UMNO Putatan yang lain.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin telah menyampaikan sumbangan Ramadhan kepada seramai 498 penerima yang layak bagi kawasan Daerah Mengundi Papason dan Lok Kawi di Masjid Al-Amin Kampung Serigai, Putatan semalam.

Mereka terdiri daripada 218 orang menerima sumbangan bakul makanan, 80 orang anak yatim menerima sumbangan kain dan kuit raya dan 200 lagi menerima duit zakat RM200 seorang daripada Pusat Zakat Negeri Sabah.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri turut berbuka puasa bersama-sama golongan asnaf tersebut.

Turut hadir di majlis itu ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Putatan, Encik Assan Nasib, Setiausaha UMNO Bahagian, Encik Ishar Ramli, Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Haji Othman Abd.Hamid dan pemimpin UMNO bahagian dan cawangan-cawangan.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan teknik pancing sokongan oleh parti-parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Katanya, parti-parti pembangkang tumbuh seperti cendawan, kini sibuk menjelajah di kampung-kampung bagi menaburkan pelbagai janji yang tidak mungkin dapat mereka tunaikan bagi memancing sokongan rakyat.

Yahya menyerahkan sumbangan Ramadhan kepada anak-anak yatim di majlis itu.

“Parti-parti pembangkang ini hanya muncul menjelang PRU, selepas itu mereka akan hilang dan tidak aktif lagi. Berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendamping rakyat setiap masa”, tegasnya.

Justeru katanya, rakyat perlu terus memberikan sokongan kepada kerajaan BN yang ditunjangan oleh UMNO demi kesinambungan pembangunan dan kemajuan yang dibawa dan dirancang oleh kerajaan BN hari ini.-CE/BNN