Manifesto BN hargai, iktiraf sumbangan wanita: Mizma

0
92
Mizma-Pix LSK
Mizma-Pix LSK

KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wanita Umno Silam, Mizma Appehdullah menyifatkan usaha memperkasa golongan wanita yang ditekankan dalam manifesto Barisan Nasional (BN)  sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap peranan kaum hawa memacu agenda pembangunan negara ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, ia membuktikan keprihatinan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk meletakkan golongan wanita sebaris dengan lelaki dalam usaha memajukan negara serta membangunkan ekonomi.

Beliau berkata manifesto BN itu memancarkan kesungguhan kerajaan untuk mengarusperdanakan golongan wanita dalam semua aspek dan sektor.

“Sebagai pemimpin wanita, saya terharu dengan perhatian serta pengiktirafan yang diberikan menerusi manifesto ini,” katanya, sambil menegaskan Wanita Umno di Sabah, khususnya di Bahagian Silam berdiri teguh bersama pucuk kepimpinan BN.

Ketika mengumumkan manifesto berkenaan, Najib menggariskan usaha-usaha BN memperkasa wanita, termasuk menawarkan penubuhan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) serta sebuah Koperasi Wanita bagi kemudahan simpanan dan pinjaman kewangan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk wanita bergiat lebih aktif dalam membangunkan ekonomi keluarga dan negara.

Manifesto bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ itu turut menggariskan perancangan terperinci dalam memartabatkan golongan ibu dan wanita di negara ini, termasuk menubuhkan pusat transformasi usahawan wanita (model PASARNITA) yang akan melebarkan jaringan perniagaan.

Dalam pada itu, Mizma turut menyifatkan manifesto BN kali ini lebih pragmatik dan berwawasan tinggi untuk rakyat Sabah berikutan banyak perhatian istimewa diberikan oleh kerajaan BN untuk negeri ini.

Katanya, manifesto berkenaan amat prihatin terhadap keperluan rakyat negeri Sabah dan juga Sarawak apabila mengumumkan pelbagai langkah dan pendekatan membangunkan kedua-dua negeri berkenaan.

Beliau berkata apa yang diumumkan dalam manifesto berkenaan menunjukkan Sabah dan Sarawak sentiasa dekat di hati Perdana Menteri, umpamanya isu gas dan minyak, kuota guru dan juga hak-hak terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Justeru, rakyat Sabah dan Sarawak umumnya pasti gembira dengaan pengumuman serta jaminan yang diberikan Perdana Menteri menerusi manifesto kali ini,” katanya.-pr/BNN