Kerajaan digesa segera baiki jalan rosak Beluran-Sandakan-Telupid

Abdul Rahman meninjau keadaan jalan yang rosak

0
1565

BELURAN: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa segera membaiki beberapa jalan raya yang rosak dan berlubang diantara Jalan Beluran-Sandakan dan Sandakan-Telupid.

Keadaan jalan rosak yang memerlukan penyelenggaraan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Encik Abdul Rahman Datuk Haji Kongkawang berkata, selain jalan berkenaan, jalanraya di tempat-tempat lain seperti jalan ke Lahad Datu dan jalan Kalabakan -Keningau juga memerlukan perhatian Kerajaan Warisan.

Kerosakan serius jalan itu turut menyebabkan kemalangan. 

Katanya, beliau amat kesal dan kecewa dengan keadaan jalan berkenaan terutama jalanraya Beluran-Telupid yang nyata amat teruk sekali.

“Ini adalah Jalan Persekutuan dan ternyata syarikat penyelenggara yang dilantik kerajaan gagal menjalankan tugas menyelenggara jalan tersebut.

Rim tayar rosak akibat jalan yang rosak.

“Demi keselamatan pengguna, pihak berkenaan seharusnya terus menyelenggara jalan-jalan tersebut agar lubang-lubang yang terbentuk di jalan tidak menjadi besar, dalam dan bertambah banyak sehingga sukar dilalui oleh pengguna”, katanya.

Abdul Rahman berkata, beliau menerima banyak aduan daripada pengguna jalan-jalan tersebut mengenai kerosakan “rim”, tayar pecah dan meletup, juga berlaku kemalangan yang boleh mengakibatkan kehilangan jiwa.

“Keadaan jalanraya itu sangat teruk sekali sejak 2 bulan yang lalu dan berlaku beberapa kemalangan yang mengakibatkan kecederaan”, katanya.

Beliau tidaklah mahu menunding jari menyalahkan kerajaan pada masa ini, namun sangat berharap agar Ketua Menteri Sabah dapat mengarahkan Menteri Pembangunan Infastruktur, Datuk Peter Anthony supaya turun padang meninjau sendiri keadaan jalanraya ini.

Abdul Rahman yakin Kerajaan Warisan dapat melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat
negeri ini terutama kawasan Beluran dan Telupid.

Beliau mengajak rakyat agar bersabar serta sama-sama memberi ruang dan peluang kepada Ketua Menteri merancang serta meningkatkan pembangunan negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya juga dengan rendah diri menasihati semua pengguna jalanraya supaya berhati-hati semasa memandu lebih-lebih lagi di musim perayaan Hari Natal dan Tahun baru cina yang akan menjelang tiba.

“Atas rasa simpati kepada semua pengguna jalanraya, saya mendoakan semoga Allah melindungi setiap perjalanan serta selamat sampai ke destinasi yang dituju.

“Saya juga mengucapkan Selamat Hari Natal dan Tahun Baru 2019 kepada semua rakyat kawasan DUN N.40 Labuk, semoga seluruh rakyat dan pengguna jalanraya di lindungi serta di beri kesihatan yang baik”, tambahnya.- Oleh LSK/BNN