KOTA KINABALU: Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Negeri Sabah mengecam tindakan Elly Pamatong dari Filipina yang membakar bendera Jalur Gemilang.
Presidennya, Brig.Jen.(K) Dato’ Jerry Ambuting Haji Mohd.Said berkata, membakar Jalur Gemilang merupakan perbuatan yang keterlaluan.
“Tindakan itu merupakan perbuatan terkutuk dan penghinaan kepada negara dan rakyat Malaysia.
“Kita membantah sekeras-kerasnya perbuatan keji yang sengaja dilakukan oleh Elly Pamatong”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Elly Pamatong harus dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa Pilipina.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Luar yang mengecam pembakaran bendera yang dilaporkan di Filipina.
Kementerian Luar menyatakan kebimbangannya mengenai video yang diterbitkan di akaun Facebook atas nama “President Pamatong Supporters” pada 19 dan 21 Januari 2019.
Pemilik akaun itu, Elly Pamatong menyatakan dirinya adalah pengasas United States Allied Freedom Fighters of the East (USAFFE).
Malaysia mengutuk tindakan sedemikian dan melihat pembakaran bendera Malaysia sebagai kejadian yang serius,” kata Wisma Putra.
“Bendera itu adalah simbol kebangsaan yang suci dan harus diperlakukan dengan hormat. “
Wisma Putra menyifatkan pembakaran bendera dan komen anti-Malaysia sebagai menyinggung, sambil menambah bahawa tuduhan yang dibuat tidak berasas.
Jerry yang juga Ketua Perhubungan Awam (Sabah) kepada Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman turut meminta Kerajaan Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Elly Pamatong.
“Pejabat Kedutaan Filipima di Malaysia juga perlu memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berhubung tindakan Elly.
“Kita tidak mahu hubungan baik diantara Malaysia dan Filipina terjejas akibat insiden ini”, tegasnya.-pr/BNN