75 isi rumah terima permit menduduki dan mengusahakan kawasan bersempadan Taman-Taman Sabah

0
156
Ewon menyampaikan permit kepada salah seorang wakil penduduk kampung

KOTA BELUD: Seramai 75 buah ketua isi keluarga daripada empat buah kampung dari Kota Belud dan Kota Marudu hari ini menerima permit menduduki dan mengusahakan tanah yang bersempadan atau berada dalam kawasan Taman-Taman Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pemberian permit menduduki dan mengusahakan kawasan tanah dalam sempadan Taman-Taman Sabah merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada kawasan tanah adat komuniti di kampung tersebut.

“Semasa Taman Kinabalu diwartakan pada 55 tahun lalu, saya pasti penduduk di sekitar kaki gunung Kinabalu memberikan pelbagai reaksi kerana mereka tidak lagi bebas memasuki kawasan itu untuk memburu, mengambil sumber hutan, menjalankan aktiviti rekreasi dan mengusahakan kawasan mereka untuk pertanian. Keadaan ini menimbulkan konflik dan menjejaskan hubungan serta kerjasama di antara penduduk dan Taman-Taman Sabah.

“Saya difahamkan terdapat 13 buah kampung yang mempunyai isu pertikaian tanah dengan Taman-Taman Sabah terutama ketika pengukuran sempadan kawasan Taman Kinabalu dibuat pada tahun 1990-an. Sudah tentunya komuniti mengharapkan satu penyelesaian muktamad ke atas kerisauan mereka terhadap kependudukan dan perusahaan dalam kawasan yang termasuk dalam sempadan Taman-Taman Sabah tersebut.

“Justeru, penyampaian permit menduduki dan mengusahakan tanah dalam kawasan Taman Kinabalu kepada 75 isi rumah keluarga dari Kg Lahanas, Kg Lasau Podi, Kg Bubuk dalam daerah Kota Belud dan Kg Nalapak dalam daerah Kota Marudu merupakan satu bentuk pengiktirafan NCR yang membolehkan mereka menduduki dan mengusahakan kawasan dalam sempadan Taman Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penyampaian Permit Menduduki dan Mengusaha Tanah Dalam Kawasan Taman Kepada Kg Lasau Podi, Kg Lahanas, Kg Bubuk dan Kg Nalapak dan Penyampaian Watikah Perlantikan Ranjer Kehormat Taman-Taman Sabah di Dewan Kompleks Sukan Kota Belud pada Selasa (hari ini).

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, tindakan dan inisiatif Taman-Taman Sabah merakyatkan kawasan Taman merupakan langkah tepat.

“Saya pasti ini memberikan kelegaan kepada para penduduk kampung terbabit dan juga penyelesaian yang baik kepada isu ini. Dalam masa yang sama, saya berharap para penduduk terutama isi rumah yang menerima permit ini akan menggunakan peluang yang ada untuk mengusahakan kawasan mereka untuk menjana ekonomi dan sumber pendapatan melalui pertanian atau eko-pelancongan.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah juga menyediakan sedikit peruntukan untuk pembangunan infrastruktur dan keusahawanan desa berasaskan eko-pelancongan,” katanya.

Beliau berharap komuniti di keempat-empat buah kampung tersebut boleh berbincang bagaimana pelancongan berasaskan komuniti dapat dilaksanakan di kampung masing-masing dan seterusnya membolehkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan membantu menyediakan keperluan infrastruktur serta program yang berkaitan. 

“Setakat ini, bagi daerah Kota Belud, saya telahpun bersetuju menyalurkan peruntukan tertentu daripada KPLB Sabah kepada Kg Sayap dan Kg Kiau, iaitu dua buah kampung yang bersempadan dengan Taman Kinabalu bagi meningkatkan kemudahan berkaitan produk dan aktiviti eko-pelancongan mereka,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah Mohd Amin Abdul Mem, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais dan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah Mustapha Sakmud.

Pada majlis itu, seramai 48 orang menerima watikah perlantikan sebagai Ranjer Kehormat Taman yang disampaikan oleh Mohd Amin.-pr/BNN