30 peserta tamatkan kursus jahitan asas dan lanjutan

0
856
Ewon bergambar bersama para peserta kursus jahitan pada majlis itu.

KOTA BELUD: Seramai 30 peserta wanita menamatkan Kursus Jahitan Asas dan Lanjutan anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah bagi kawasan DUN Kadamaian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berharap kursus selama dua bulan itu dapat meningkatkan kemahiran para peserta, seterusnya menyediakan mereka menjadi usahawan jahitan untuk menjana pendapatan keluarga.

“Kursus ini merupakan sebahagian daripada kursus-kursus yang dilaksanakan oleh KPLB Sabah di bawah Program Khidmat Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Desa. 

“Pucuk pimpinan telah memberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada KPLB Sabah untuk menyediakan sekurang-kurangnya 100 orang bimbingan usahawan dan 15 kursus kemahiran di seluruh Sabah. 

“Selain di Kota Belud, kita juga telah melaksanakan kursus batik canting di Sipitang dan kursus pemprosesan kuih/makanan di Beaufort sebelum ini. Beberapa lagi kursus akan dilaksanakan di daerah-daerah lain termasuk di Pusat Latihan KPLB Sabah di Kota Kinabalu. Justeru, saya amat pasti ia akan membantu mencapai KPI tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Jahitan Asas dan Lanjutan di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, pada Selasa (hari ini).

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, KPLB Sabah berhasrat untuk menganjurkan sekurang-kurangnya satu kursus kemahiran di setiap daerah penuh dan daerah kecil seluruh Sabah bermula tahun hadapan tertakluk kepada peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian itu.

“Hasrat ini merupakan input utama kita kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dan Kementerian Kewangan Sabah dalam penyedian bajet Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020. Maka, semakin besar peruntukan yang kita terima, sudah tentu lebih banyak kursus kemahiran yang kita dapat anjurkan untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan ekonomi para peserta,” katanya.

Beliau turut berharap agar 30 peserta kursus jahitan di Kadamaian tersebut dapat memanfaatkan sebaiknya pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi sepanjang kursus dengan menceburi keusahawanan berasaskan jahitan.

“Para peserta yang terpilih sangat bertuah kerana ribuan wanita dan kaum ibu tidak mendapat peluang menyertai kursus tersebut. Sekiranya para peserta tidak mengembangkan pengetahuan yang diperolehi, maka sudah tentu ianya merugikan.

“Oleh itu, gunakan media sosial seperti facebook, instagram, whatsapp dan sebagainya untuk memasarkan atau mempromosi perniagaan menjahit kelak,” katanya.

Ewon juga mahu para peserta kursus jahitan terus memberikan makluman kepadanya mengenai perkembangan semasa dalam keusahawanan selepas ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam, Setiausaha Rendah KPLB Sabah Majaran Osman dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis.-pr/BNN