Wanita UMNO serah keputusan terima kembali bekas ahli kepada pucuk kepimpinan

0
258
Datuk Hajah Dr.Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid.

KOTA KINABAU: Wanita UMNO Sabah tiada halangan untuk menerima bekas ahli-ahli UMNO yang ingin kembali ke pangkuan UMNO setelah meninggalkan parti.

Datuk Dr. Hajah Jainab Datuk S.P Haji Ahmad Ayid Ketua Wanita UMNO Sabah berkata yang penting dan utama ialah bekas ahli UMNO ini hendaklah membuktikan keikhlasan dan kesetiaan mereka untuk terus berjuang bersama-sama UMNO.

Walaupun Wanita UMNO Sabah menyerahkan keputusan untuk menerima semula bekas ahli UMNO ini sepenuhnya kepada pucuk pimpinan peringkat negeri, namun perlu ada syarat-syarat yang perlu dikenakan, katanya.

Menurut beliau, Wanita UMNO Sabah kini mengambil pendekatan dengan memberi tumpuan kepada gerak kerja dan  agenda memulihkan kekuatan parti,  ke arah persiapan Pilihan Raya Umum ke15.

“Peranan Wanita UMNO sebagai jentera terbesar parti amat jelas, adalah untuk membina kembali kekuatan jentera Jalinan Rakyat (JR).  Alhamdulillah, dengan keupayaan dan kudrat yang ada, kesedihan yang dirasai setahun lalu kini dapat kami bertatih kembali,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

“Mesyuarat Wanita UMNO peringkat cawangan-cawangan telah pun selesai mengadakan persidangan dengan jayanya dan di peringkat Bahagian pula ada yg telah selesai dan sedang mengadakan persidangan masing masing. Ternyata Wanita UMNO telah menerima maklum-balas yang sangat positif daripada  cawangan-cawangan.”

UMNO Sabah akan mengadakan Konvensyen UMNO Sabah pada 14 dan 15 September 2019 depan, kata beliau.

“Dalam persidangan kali ini, Wanita UMNO akan mencadangkan dan mengesyorkan kepada pucuk pimpinan parti agar mempertimbangkan untuk mengadakan Pindaan Perlembagaan parti agar  Wanita UMNO yang menjadi kluster terbesar parti dengan jumlah keahlian melebihi 38% keseluruhan keahlian UMNO, diberikan beberapa pengiktirafan.”

Wanita UMNO juga mensyorkan beberapa perkara demi memastikan UMNO Sabah terus relevan serta bagi memenuhi tuntutan semasa lanskap politik nasional dan negeri Sabah.

“Ini kerana kita memikirkan, kuasa autonomi harus diberikan kepada UMNO Sabah dalam menentukan halatuju perjuangannya serta dalam mengurus-tadbir UMNO Sabah.”

Mengambil kira Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat termasuk pelaksanaan pendaftaran automatik warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun susulan pindaan perlembagaan persekutuan,  Wanita UMNO menyahut cabaran mendekati golongan tersebut dalam kumpulan sasaran gerak kerja. Sudah pasti akan berlaku pertambahan pemilih secara drastik termasuk 4 juta yang belum didaftarkan, katanya lagi.

“Selain daripada program turun padang dan kebajikan yang selalu dilakukan oleh Wanita UMNO,  kita juga mengalu-alukan anggota Wanita UMNO memperkasakan bidang perniagaan dan keusahawanan yang berpotensi dibangun dan diusahakan di bahagian masing-masing.”-pr/BNN