KPLB Sabah cadang sebuah agensi diwujudkan bantu basmi kemiskinan

0
129
Ewon (tengah) dengan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datyk Peter Anthony (kanan) di sidang DUN
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah telah mengemukakan cadangan kepada Kabinet Negeri untuk menempatkan sebuah agensi kerajaan negeri dibawah kementerian itu bagi melipatgandakan usaha mensejahterakan penduduk luar bandar.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata dengan adanya agensi itu akan membantu meningkatkan usaha kementerian membasmi kemiskinan di negeri ini.
“Saya sendiri telah mengemukakan syor kepada Kabinet Negeri mengenai keperluan atau cadangan kita supaya sebuah badan berkanun kerajaan negeri atau agensi negeri ditempatkan di bawah KPLB Sabah untuk memberi peluang kepada kita melipatgandakan usaha dalam mensejahterakan penduduk luar bandar dan membasmi kemiskinan.
Ewon (kiri), Datuk Peter Anthony dan Datuk Christina Liew, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
“Kita akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Menteri (Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal) untuk melihat semua ini. Saya yakin Ketua Menteri akan mempertimbangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar pada seisi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Jamawi bertanya sama ada KPLB Sabah bercadang untuk mewujudkan sebuah agensi di bawah kementerian itu bagi merancakkan lagi pembangunan  luar bandar Sabah dan kerjasama antara KPLB Persekutuan.
“Di peringkat kita (KPLB Sabah), kita mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa antara saya dan Datuk Rina Harun selaku Menteri KPLB Persekutuan dan antara pegawai-pegawai kanan kita untuk melihat mekanisma yang kita boleh laksanakan untuk memperkasakan pelaksanaan projek-projek kecil luar bandar yang diperuntukkan oleh KPLB Persekutuan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Adun Tanjong Batu Datuk Hamisa Samat  samada KPLB Sabah bercadang mengujudkan peruntukan khas untuk menaiktaraf jalan-jalan pelancongan luar bandar Ewon berkata, pada masa ini Kabinet Negeri telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai pembangunan luar bandar Sabah.
“Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama ialah isu-isu keperluan untuk menaiktaraf jalan menuju ke pusat perusahaan atau pelancongan luar bandar.
“Saya amat yakin selepas kita perolehi data-datanya daripada pejabat daerah maka jawatankuasa kabinet ini akan mengemukkakan kepada kerajaan untuk keputusan seterusnya,” katanya.
Terdahulu itu, ketika menjawab soalan asal Hamisa yang bertanya adakah kerajaan bercadang untuk menaikkan jumlah peruntukan Adun pada tahun ini, Ewon berkata, syor itu telah dibincangkan di peringkat kementeriannya sebagai input kepada penyediaan Belanjawan Negeri akan datang.
“Saya secara peribadi bersetuju dengan keperluan dan cadangan menaikkan jumlah peruntukan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Syor ini juga telah kami bincangakan di peringkat kementerian saya sebagai input kepada penyediaan Belanjawan Negeri yang akan datang.
“Seterusnya saya akan mengangkat syor ini kepada Ketua Menteri Sabah selaku Menteri Kewangan dan saya yakin beliau akan mempertimbangkan kenaikan peruntukan Adun berdasarkan kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan negeri Sabah,” katanya.-pr/BNN