Temuduga Terbuka Pengambilan Perantis Pusat Latihan Kpd-Oisca Sesi 2019/2020 Pada 28 Ogos

0
268
Para belia sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Belia KPD-OISCA Tenom

KOTA KINABALU:  Golongan belia di Sabah dipelawa menghadiri temuduga terbuka pengambilan perantis Pusat Latihan Belia KPD-OISCA Tenom sesi 2019/2020 yang diadakan serentak di sembilan belas pusat temuduga pada 28 Ogos ini.

Pusat-pusat temuduga terbuka ialah di Ibu Pejabat Korporasi Pembangunan Desa (KPD) Wisma Pertanian, Pusat Latihan Belia KPD-OISCA Tenom, di pejabat-pejabat KPD di Kabang Papar, Klias Beaufort, Sipitang, Sikuati Kudat, Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Bingkor Keningau, Ranau, Beluran, Kota Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Pusat-pusat temuduga terbuka lain ialah di pejabat-pejabat Jabatan Pertanian Telupid dan Sandakan serta di pejabat Majlis Daerah Nabawan.

Masa temuduga terbuka ialah dari pukul 9.00 pagi sehingga 4.00 petang.

Pusat Latihan Belia KPD-OISCA menawarkan kursus-kursus Diploma/Sijil Kemahiran Malaysia (DKM/SKM) dengan pentauliahan program oleh Skills Malaysia, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) dan OISCA International.

Kursus-kursus Sijil Kemahiran Malaysia 3 (SKM 3) selama 16 bulan ialah Operasi Pengeluaran Tanaman, Penyeliaan Operasi Pengeluaran Padi, Pengendalian Tanaman Cendawan (Tanah Rendah), Pengeluaran Makanan dan Operasi Ladang Poltri.

Manakala jangkamasa kursus Eksekutif Pertanian di peringkat Diploma Kemahiran Malaysia 4 (DKM 4) adalah selama 8 bulan.

Kelebihan-kelebihan kursus-kursus berkenaan ialah pengiktirafan oleh kerajaan dan mengikut keperluan industri, menekankan aspek praktikal berbanding teori, berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma / Diploma Lanjutan serta pelajar cemerlang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Jepun.

Syarat-syarat kelayakan ialah golongan belia lepasan Tingkatan 5 yang berumur 17-25 tahun, bujang, warganegara Malaysia yang berasal dari Sabah, sihat dan mampu menjalani latihan sepanjang program.

Syarat-syarat lain ialah menandatangani kontrak perantisan, berminat untuk mengikuti latihan kemahiran dan untuk DKM 4, pemohon harus mempunyai kelayakan SKM 3 dalam bidang berkaitan.

Kemudahan-kemudahan yang disediakan ialah penginapan, makan dan minum sepanjang kursus, elaun RM50.00 sebulan, perlindungan insurans dan peralatan ladang.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Inovasi dan Latihan KPD di talian 088-291307, 291319 dan Pusat Latihan Belia KPD-OISCA Tenom, 087-737567.-pr/BNN