Kerajaan Pusat akan tingkat keupayaan pasukan keselamatan perairan Sabah-Hajiji

0

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengalu-alukan Belanjawan 2020, yang menyaksikan Sabah kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan Kerajaan Persekutuan yang tertinggi iaitu sebanyak RM5.2 bilion.

Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (gambar) berkata dengan pemberian peruntukan perbelanjaan pembangunan tertinggi, membuktikan Kerajaan Persekutuan amat prihatin dengan keperluan negeri Sabah, terutama dalam membangun kawasan luar bandar negeri ini.

Katanya, aspek keselamatan juga menjadi fokus Kerajaan Persekutuan terutama usaha mengekang dan menangani pencerobohan pendatang asing dan juga militan di perairan Sabah.

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) diatas pemberian peruntukan terbesar itu.

“Kita yakin Kerajaan akan terus meningkatkan keupayaan aset dan peralatan pertahanan kepada pasukan keselamatan yang mengawal perairan negeri Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Pada pembentangan itu, kerajaan mengumumkan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM297 bilion, peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion bagi 2019. Sebanyak RM241 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM56 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Hajiji optimis Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri yang akan menerima peruntukan lebih tinggi pada tahun 2020 akan mengukuhkan keupayaan mobiliti pertahanan dan tentera.

“Kita menyambut baik dan mengalu-alukan Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan kepada kedua-dua kementerian itu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.

“Dengan meningkatnya peruntukan itu, keupayaan aset dan peralatan pertahanan akan ditambah dan ditingkatkan, khususnya untuk mengawal perairan negeri Sabah daripada ancaman pencerobohan militan dan pendatang warga asing”, katanya.

Kementerian Pertahanan akan menerima peruntukan sebanyak RM15.6 bilion untuk tahun 2020 berbanding RM13.9 bilion dalam tahun 2019. Sementara Kementerian Dalam Negeri akan menerima peruntukan sebanyak RM16.9 bilion untuk 2020 berbanding RM15.6 bilion untuk 2019.
Hajiji berkata, rakyat Sabah amat mengalu-alukan usaha Kerajaan Pusat menambah baik kesiapsiagaan pertahanan untuk mempertahankan perairan Sabah daripada sebarang ancaman dan pencerobohan.

“Dengan adanya peralatan ketenteraan yang canggih dan moden termasuk Bot Pemintas Laju(Fast Interceptor Crafts) maka ancaman penceroboh dan pengganas dapat ditangani dengan berkesan”, tegasnya.

Sehubungan itu, beliau yakin Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) juga akan dapat meningkatkan operasinya dengan lebih berkesa di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur (Esszone).

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, secara keseluruhannya Belanjawan 2020 merupakan belanjawan yang berdaya saing untuk menjana dan membangun semula ekonomi rakyat dan negara.

Katanya, banyak aspek keperluan dan kehidupan rakyat telah diambil kira dalam Belanjawan itu termasuklah pelbagai jenis bantuan dan insentif diberikan oleh Kerajaan.

Beliau mengambil contoh Bantuan Sarah Hidup kepada Nelayan telah ditingkat daripada RM200 sebulan ke RM250.00, selain pelbagai insentif dan skim untuk membantu rakyat dari pelbagai golongan termasuk generasi muda.

“Walaupun terdapat keperluan dan permintaan negeri ini tidak dapat dipenuhi kerana kewangan negara yang masih dibebani oleh hutang yang telah ditinggalkan oleh kerajaan lalu, namun dalam konteks negeri Sabah, kita menerima peruntukan yang agak besar bagi tahun 2020”, tambahnya.

Hajiji yakin dengan peruntukan beratus juta ringgit untuk meningkatkan kemudahan dan infrastruktur di Sabah khususnya untuk kawasan luar bandar, akan membantu merancakkan pertumbuhan dan pembangunan negeri Sabah.

“Kita juga menyambut baik cadangan Kerajaan PH untuk menggandakan geran kewangan kepada Sabah dan Sarawak seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963, dengan Sabah akan menerima kadar Pemberian Khas Tahunan sebanyak RM53.4 juta.

“Ini menunjukkan keperihatinan Kerajaan PH terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak”, tegasnya.

Beliau mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020 untuk membaiki dan membaik pulih sekolah-sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak.

“Kita sedia maklum, banyak sekolah-sekolah di Sabah khususnya di kawasan luar bandar yang daif dan amat memerlukan pembaikan segera. Justeru dengan peruntukan itu, murid-murid sekolah di luar bandar Sabah dapat menikmati suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif”, katanya.

Hajiji juga menyambut baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Trans Borneo sepanjang 165 km yang
menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Kalimantan Timur, dengan pakej bernilai RM600 juta untuk membina 40km Jalan Kalabakan-Serudong dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dan kuarters perumahan kerajaan.

Hajiji berkata, BERSATU Sabah juga mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion untuk membina hospital baharu dan menaik taraf serta membesarkan hospital sedia ada di seluruh negara, termasuk Pusat Kardiologi Hospital Queen Elizabeth (QEH) II di Kota Kinabalu.

Katanya, usaha menaik taraf kemudahan dan kepakaran yang mencukupi di Pusat Kardiologi QEH II adalah satu keperluan untuk mengurangkan beban para pesakit jantung di Sabah yang sebelum ini terpaksa dirujuk ke hospital kerajaan di ibu negara, khususnya yang melibatkan kes-kes pembedahan jantung.

Katanya, keperluan generasi muda juga diberi perhatian oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2020 dengan mengarus perdana Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), sebanyak RM5.9 bilion diperuntukan pada tahun 2020 berbanding RM5.7 bilion pada tahun 2019.-pr/BNN