KOTA KINABALU: Sabah terus menjadi pilihan pelabur asing untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, antara sektor yang menjadi pilihan pelabur asing ialah minyak dan gas, tenaga, pertanian, perikanan, pelancongan, pembuatan dan lain-lain.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan para pelabur asing yang berminat dan bersedia untuk melabur ke Sabah, untuk melihat dan membangunkan sektor yang berpotensi di negeri ini yang kaya dengan sumber asli dan alam sekitar yang cantik”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar dan
Pesuruhjaya Tinggi negara-negara asing ke Malaysia di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Encik Ouyang Yujing, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, TYT Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, TYT Encik MD. Golam Sarwar.

Hajiji juga berharap pelancong asing khususnya dari negara China, Brunei Darussalam dan negara-negara asing yang lain akan terus memilih Sabah sebagai destinasi pelancongan dan percutian mereka.

Semasa kunjungan itu, Duta Besar Republik China ke Malaysia, TYT Encik Ouyang Yujing memaklumkan Hajiji, Sabah amat terkenal dikalangan rakyat China kerana keindahan alam semula jadi yang dimiliki negeri ini. Beliau juga berharap kerajaan dan pengusaha pengusaha pelancongan di Sabah akan mengadakan lebih banyak promosi mereka di bandar-bandar utama di negara China bagi menarik lebih ramai pelancong negara itu ke Sabah.

Katanya, beberapa sektor yang berpotensi diterokai oleh pelabur dan pedagang dari China di Sabah ialah industri minyak dan gas, tenaga, pertanian, perikanan, ekonomi digital, industri berteknologi tinggi dan lain-lain

Menurutnya, sektor infrastruktur di Sabah yang berpotensi diterokai oleh syarikat kejuruteraan dan pembinaan dari China seperti pembinaan pelabuhan, lapangan terbang, lebuhraya dan lain-lain.

Beliau juga akan membawa syarikat-syarikat kejuruteraan dan pembinaan multinasional China yang telah menubuhkan syarikatnya di Kuala Lumpur dan pedagang China ke Sabah untuk meninjau peluang pelaburan di negeri ini.

TYT Ouyang Yujing yang dilantik sebagai Duta Besar Republik China ke Malaysia pada tahun 2021 turut mempelawa Hajiji mengetuai delegasi Sabah melawat China. -pr/BNN