KOTA KINABALU: Kritikan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, susulan kunjungan hormat rombongan Miss World 2025 ke Istana Negeri baru-baru ini disifatkan sebagai tidak wajar dan berunsur politik sempit.

Mantan Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik berkata, tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan pertemuan itu mencerminkan ketidakmatangan berpolitik serta kegagalan memahami peranan institusi TYT sebagai simbol perpaduan dan ketua negeri.

“Yang di-Pertua Negeri adalah simbol kesatuan rakyat Sabah dan institusi tertinggi negeri. Adalah menjadi amalan biasa bagi mana-mana delegasi antarabangsa mengadakan kunjungan hormat kepada ketua negeri sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rombongan Miss World sebelum ini mengadakan kunjungan hormat ke Istana Negeri yang turut dihadiri Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Miss World, Puan Julia Morley CBE, Miss World 2025, Opal Suchata Chuangsri, dan Miss World Malaysia, Taanusiya Chetty.

Menurut Robert, lawatan tersebut bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya membawa mesej perpaduan, kebajikan dan jaringan antarabangsa yang memberi impak positif kepada negeri, termasuk dalam sektor pelancongan.

“Apakah mereka tidak sedar bahawa kedatangan Miss World bukan lawatan kosong? Ia membuka ruang promosi Sabah di peringkat global dan pada masa sama membawa sumbangan kebajikan yang terus dirasai rakyat,” katanya.

Beliau merujuk pengumuman sumbangan RM300,000 oleh Julia Morley CBE bagi membantu pembinaan kelas Sabah Autism Society di Tuaran, selain sumbangan USD5,000 kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu.

“Ini bukti jelas bahawa kunjungan tersebut memberi manfaat nyata kepada komuniti. Maka tidak wajar ia dipolitikkan dan pihak tidak bertanggungjawab”, tegas mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.

Robert berkata, dalam tradisi ketamadunan manusia sejak dahulu lagi, budaya menghormati tetamu sentiasa dijunjung tinggi, termasuk terhadap pihak yang berbeza pandangan.

“Menghormati tetamu bukan sekadar adat, tetapi nilai asas kemanusiaan dan budaya kita. Jangan kerana perbezaan politik, kita hilang pertimbangan dan adab sehingga menjadikan kunjungan itu sebagai modal politik untuk mengkritik pemimpin terutamanya TYT,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa TYT tidak terlibat dalam percaturan politik kepartian, sebaliknya menjalankan tanggungjawab mengikut lunas Perlembagaan dan protokol rasmi negeri.

“Institusi TYT berada di atas politik. Serangan terhadapnya bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menjejaskan imej dan kestabilan negeri,” katanya.

Menurut Robert, kunjungan tokoh bertaraf dunia seperti Miss World juga merupakan peluang strategik untuk memperkenalkan Sabah kepada masyarakat antarabangsa, khususnya dalam sektor pelancongan dan ekonomi.

“Dalam dunia yang kompetitif hari ini, publisiti dan jaringan antarabangsa amat bernilai. Sabah seharusnya berbangga kerana dipilih sebagai destinasi lawatan rasmi delegasi Miss World,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar menghentikan polemik tidak perlu dan sebaliknya menumpukan usaha kepada agenda pembangunan serta perpaduan rakyat.

“Perkara baik tidak seharusnya dijadikan modal politik sempit. Rakyat lebih memerlukan naratif yang membina dan menyatukan, bukan yang memecah-belahkan,” katanya.-pr/BNN