SANDAKAN: Gerakan Nasional Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) dijangka menjadi pemangkin dalam mengangkat produk dan jenama buatan Sabah ke peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi “tempatan ke global” yang menjadi antara fokus utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata aspirasi yang dibawa JOM MALAYSIA amat selari dengan agenda pembangunan ekonomi Kerajaan Negeri yang menekankan pertumbuhan mampan, inklusif dan berdaya saing menerusi pemerkasaan usahawan tempatan serta peluasan akses pasaran.
Beliau berkata, JOM MALAYSIA bukan sekadar festival jualan atau platform mempromosikan produk tempatan, sebaliknya merupakan gerakan strategik yang menghimpunkan usahawan, kerajaan, pemain industri, institusi kewangan dan pengguna dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh.
“SMJ 2.0 dan JOM MALAYSIA berkongsi matlamat yang sama dalam memperkasa usahawan tempatan, meningkatkan nilai produk dan perkhidmatan serta memperluas akses pasaran bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
“Sinergi ini akan membentuk rantaian pembangunan yang menyeluruh, bermula dengan pemerkasaan usahawan, diikuti pembangunan produk dan peluasan pasaran, selaras dengan aspirasi ‘tempatan ke global’,” katanya ketika merasmikan Festival JOM MALAYSIA 2026 di Kompleks Sukan Sandakan, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata pemilihan Sabah sebagai salah satu lokasi festival itu mencerminkan pengiktirafan terhadap kekuatan ekonomi negeri serta keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap potensi Sabah sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur.
Katanya, Sabah bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian budaya, warisan dan sumber semula jadi, malah mempunyai komuniti usahawan yang semakin berkembang dengan pelbagai produk tempatan bernilai komersial tinggi, termasuk makanan, kraftangan, fesyen serta produk kreatif dan inovatif daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dengan anggaran penduduk seramai 3.8 juta tahun lalu serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM88.8 bilion yang mencatat pertumbuhan 5.1 peratus, Sabah muncul sebagai antara pasaran pengguna terbesar dan paling dinamik di Malaysia Timur, katanya.
Mengulas potensi produk Sabah di peringkat antarabangsa, Hajiji berkata pencapaian usahawan tempatan tahun lalu membuktikan produk negeri itu mampu bersaing di pasaran global.
Katanya, seramai 124 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sabah menyertai 18 ekspo perdagangan antarabangsa pada 2025, dengan potensi jualan bernilai RM95.9 juta, meningkat 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini membuktikan produk buatan Sabah mempunyai kualiti, keunikan dan daya saing untuk menembusi pasaran global. Justeru, JOM MALAYSIA perlu dilihat sebagai platform yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang dan meluaskan pasaran,” katanya.
Bagi memperkukuh lagi ekosistem keusahawanan negeri, beliau berkata Kerajaan Sabah menerusi SMJ 2.0 memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Bantuan SME-UP yang diterajui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), dengan peruntukan RM15 juta bagi membangunkan 600 PMKS.
Selain itu, Program Sabah Ready-to-Eat (RTE) turut diperkenalkan bagi membantu mengkomersialkan produk makanan tempatan melalui geran pembangunan, bantuan mesin retort dan sokongan pensijilan halal bagi meningkatkan kebolehpasaran produk.
Hajiji berkata kedua-dua inisiatif itu melengkapi aspirasi JOM MALAYSIA dalam membangunkan usahawan dan produk berdaya saing yang bersedia menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
Sementara itu, beliau berkata sektor pelancongan turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi tempatan ke global, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027.
Katanya, Sabah merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat serta menjana hasil pelancongan sebanyak RM8.74 bilion tahun lalu, sekali gus menunjukkan potensi besar sektor berkenaan sebagai pemangkin dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan tempatan.
“Setiap festival, ekspo dan program promosi bukan sahaja menggalakkan pembelian produk tempatan, malah menjadi wadah untuk memperkenalkan identiti Sabah kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Apabila pelancong menikmati makanan tempatan, membeli kraftangan, menggunakan perkhidmatan atau membawa pulang produk buatan Sabah, mereka menjadi duta yang memperkenalkan jenama Sabah ke pentas antarabangsa. Inilah aspirasi sebenar ‘tempatan ke global’ yang ingin kita capai bersama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kerajaan Negeri mempertimbangkan penganjuran JOM MALAYSIA di destinasi strategik lain di seluruh Sabah sempena Tahun Melawat Sabah 2027 bagi memperluas capaian program kepada usahawan tempatan, di samping memperkukuh promosi produk Sabah kepada pelancong domestik dan antarabangsa.-pr/BNN





