LABUAN: Program Ikan Rakyat Sabah (IRS) yang dilaksanakan SAFMA terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi penyediaan bekalan ikan segar dan berkualiti pada harga mampu milik kepada rakyat.

Pengurus Besar SAFMA, Burhan Haji Japar, berkata program itu diwujudkan bagi memastikan semua lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat akses kepada sumber protein berkualiti tanpa dibebani peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, IRS bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membantu meningkatkan pendapatan nelayan tempatan melalui pembelian terus hasil tangkapan mereka, sekali gus mewujudkan rantaian bekalan yang lebih cekap dan mampan.

“Program ini memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi, segar dan selamat dimakan, di samping memperkukuh ekonomi komuniti nelayan serta menyokong pembangunan industri perikanan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai program Road to MAHA 2026 Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, hari ini.

Burhan berkata, penyertaan SAFMA dalam pameran itu menjadi platform memperkenalkan Program Ikan Rakyat Sabah kepada masyarakat selain mempromosikan perkhidmatan, produk berasaskan makanan laut dan peluang kerjasama melalui pendaftaran Rakan Niaga SAFMA.

Katanya, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai info poduk makanan laut, menikmati Menu Rakyat berasaskan hasil laut serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang pameran.

Menurutnya, selaras dengan aspirasi Ekonomi Biru Sabah, SAFMA akan terus memperluaskan pelaksanaan IRS menerusi pembangunan kemudahan penyimpanan sejuk beku,  bekalan ais blok, penghasilan produk nilai tambah, rangkaian perluasan serta pelaksanaan inisiatif Zero Waste Fisheries.

“Program Ikan Rakyat Sabah bukan sekadar menyediakan ikan pada harga berpatutan, malah menjadi pelaburan jangka panjang dalam membina ekosistem perikanan yang mampan, meningkatkan pendapatan nelayan dan menjamin bekalan makanan untuk rakyat,”  katanya.

Sempena lawatan kerja ke Labuan, delegasi SAFMA turut mengadakan tinjauan ke Pasar Ikan Labuan dan Kompleks Perikanan LKIM Labuan bagi melihat operasi pemasaran serta rantaian bekalan hasil perikanan di wilayah itu.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar SAFMA, Azis Ali Amat, bersama barisan pengurusan SAFMA.-pr/BNN