KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited dalam membantu golongan orang kurang
upaya (OKU) dan OKU penglihatan di negeri ini, untuk memastikan mereka tidak
terpinggir daripada segala aspek.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata seramai 43,214 OKU
termasuk 3,597 OKU penglihatan telah mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA), setakat 29 Disember lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa dan keluarga agar mendaftarkan ahli Keluarga yang OKU atau mempunyai cacat penglihatan ke JPKA Sabah bagi membolehkan mereka dibantu.

“Amat penting untuk mereka didaftarkan dengan Pejabat Kebajikan Am Negeri supaya mereka dapat dibantu khususnya dalam pemberian nilai tambah berupa kemahiran. Ini juga bagi membolehkan mereka hidup berdikari dan menyumbang kepada diri sendiri dan keluarga.

“Pendaftaran itu juga bagi memudahkan kerajaan untuk merancang penyediaan
kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik dan bersesuaian dengan keperluan
golongan ini.

Terdapat banyak keistimewaan kepada golongan OKU yang telah
berdaftar termasuklah memudahkan urusan saluran bantuan dan faedah kepada
mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Braille Sedunia Peringkat
Kebangsaan di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru, di sini pada Rabu.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Dalam pada itu, beliau berkata Hari Braille Sedunia disambut untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat betapa pentingnya kewujudan Braille sebagai medium komunikasi dalam pengiktirafan hak asasi manusia kepada OKU
Penglihatan.-pr/BNN