BEIJING: Elisa Marie Ukau bersama keluarganya yang kini berada di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan di Sabah.
Ucapan itu disampaikan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina sebagai tanda ingatan serta penghargaan kepada keluarga di tanah air, biarpun mereka kini berada jauh di perantauan.
Menurut kenyataan ringkas yang dikongsikan, perayaan berkenaan bukan sekadar tradisi masyarakat Tionghoa, sebaliknya menjadi simbol perpaduan, kebersamaan dan semangat kekeluargaan yang terus mekar dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi dan sempadan negara.
“Walaupun berjauhan, ingatan dan doa kami sentiasa bersama keluarga di Sabah. Semoga tahun baharu ini membawa kebahagiaan, kesihatan yang baik serta rezeki yang melimpah ruah kepada semua,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, sambutan perayaan di luar negara turut mencerminkan bahawa nilai kekeluargaan serta jati diri sebagai rakyat Malaysia kekal utuh dan terus dipelihara walau di mana berada.
Tahun Baharu Cina yang disambut masyarakat Tionghoa di seluruh dunia setiap tahun menjadi detik penting untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, memperkukuh persahabatan serta menyemai harapan baharu ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.-pr/BNN





