UMNO akan terus berjuang dan berkhidmat kepada rakyat

0
Isnin (duduk, tengah) bersama Sapawi(duduk, kanan) Matbali (berdiri, kiri) dan tetamu lain di majlis rumah terbuka UMNO Bahagian Sipitang.

BEAUFORT: UMNO Bahagian Sipitang akan terus berjuang dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan Sipitang walaupun kini berstatus sebagai parti pembangkang.

SAPAWI berucap di majlis itu. Kelihatan Matbali (kiri Sapawi) dan kepimpinan UMNO Bahagian Sipitang.

Ketuanya Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata,  komitmen UMNO kepada rakyat kawasan Sipitang tidak berubah walaupun
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin kini diwakili oleh parti Warisan.

Beliau berkata, rakyat masih memberikan sokongan mereka kepada calon-calon UMNO/BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 apabila mantan Ketua Pemuda UMNO Sipitang, Yamani Hafez Musa menang kerusi Parlimen Sipitang dan Matbali Haji Musah menang kerusi DUN Lumadan.

SAPAWI (tengah) bersama Mohd.Arifin (tiga dari kanan), Matbali (tiga dari kiri) dan tetamu lain yang hadir.

“Walaupun kita tewas di kerusi DUN Sindumin dan sekaligus menjadi pembangkang di peringkat Kerajaan Pusat, kita akur dan menerima ketentuan politik ini”, katanya.

Sapawi berkata demikian pada Majlis Salam Aidilfitri dan Rumah Terbuka UMNO Sipitang di perkarangan Ainley Car Wash Kg Lumatai, Beaufort, semalam.

Turut hadir ialah Matbali yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sipitang yang baharu, ADUN Membakut,Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif,  ADUN Klias, Datuk Isnin Haji Alisnih, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Senator Datuk Jamilah Sulaiman yang juga Ketua PBS Bahagian Sipitang, Naib Presiden PBS, Haji Roslan Muharam, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sipitang, Datuk Surinam Sadikon, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang yang baharu, Encik Mazlan Joe dan kepimpinan UMNO bahagian itu.

SAPAWI (dua dari kanan) bersama Matbali dengan tetamu yang hadir.

Beliau berkata, perjuangan UMNO selama ini ialah membela kepentingan rakyat dan negeri dan perjuangan ini akan diteruskan.

Sapawi berkata, UMNO Sipitang akan terus berkhidmat, berjuang dan bekerja keras untuk menawan semula kerusi DUN Sindumin, selain mengekalkan DUN Lumadan dan Parlimen Sipitang dalam PRU akan datang.

Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Sipitang merakamkan terima kasih kepada pemimpin dan rakyat di kawasan Parlimen Sipitang yang telah meluangkan masa menghadiri Majlis Salam Aidilfitri dan Rumah Terbuka UMNO Sipitang.

Kanak-kanak yang hadir menerima duit Raya di majlis itu.

Sapawi juga berharap rakyat dan pelbagai pihak akan terus memberikan kerjasama kepada kepimpinan UMNO bahagian itu.

Sementara itu, kanak-kanak turut menerima duit Raya di majlis itu.-Oleh L.S Kuang/BNN