PUTATAN: Teras pendidikan bermutu dilihat mampu memberikan impak positif kepada pembangunan di Putatan menjadi warga berilmiah dan berdaya saing di masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, kualiti pendidikan tersebut dapat ditingkatkan melalui kerjasama dengan para pendidik, persekitaran sekolah yang signifikan serta penyelarasan hala tuju diseragamkan oleh kerajaan semasa.
Jelasnya, kerajaan melalui teras SMJ 2.0 diaspirasikan oleh pentadbiran Ketua Menteri; Datuk Seri Hajiji Noor turut menitikberatkan isu pendidikan yang turut memberikan suntikan positif ke seluruh sekolah sedia ada termasuklah di Tg Keramat.
“Dengan adanya lonjakan pendidikan yang bermutu di Putatan, di Tg Keramat, warga setempat terutamanya di kalangan para pelajar mampu menjadi generasi berdaya intelek serta pelapis kepada pemimpin di masa hadapan.
“Dengan adanya aspirasi seperti hala tuju SMJ dan SMJ 2.0 yang turut menitikberatkan aspek pendidikan di Sabah, ia dilihat dapat menjadi pendorong utama kepada kemajuan aspek pendidikan di kawasan kita.
“Bagi kami selaku wakil rakyat di kawasan ini, kita sentiasa bekerjasama dengan sekolah-sekolah yang ada di kawasan lokaliti kita seperti sumbangan prasarana yang selesa, bantuan alat persekolahan dan lain-lain untuk memastikan kecemerlangan di kalangan para pendidik dan para pelajar, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Guru peringkat SMK Putatan di sini, pada Jumaat.
Hadir sama adalah Pengetua SMK Putatan; Zarida Mohd Junaidi,Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar, dan Yang Di-Pertua PIBG SMK Putatan; Rosdianah Daunah.
Mengulas mengenai program tersebut, Shah Alfie berkata, tema Guru Bintara Nadi Negara amat bersesuaian dan menjadi lambang kepada pengorbanan para guru yang sentiasa komited mencurahkan ilmu kepada para murid dan pelajar, termasuklah di SMK Putatan.
Tambahnya, dengan era baharu dan zaman teknologi, perkembangan pesat juga memberikan kesan kepada proses pembelajaran yang mana perlu dipikul bersama dalam memastikan tahap pendidikan di sekolah itu sentiasa mencapai peringkat tertinggi demi melahirkan lepasan sekolah yang cemerlang dari semasa ke semasa.-pr/BNN





