MEMBAKUT: Rakyat terutamanya pengundi di Kimanis perlu memberi peluang kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, kata Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji dan rombongan mengunjungi Puan Norhaine Binti Sagi di Kg. Jambatan Baru dalam PDM Mawao

Katanya, Datuk Karim Bujang mewakili Warisan adalah parti yang menerajui Kerajaan Negeri ketika ini.

Beliau berkata, rakyat dan pengundi Kimanis mesti menyokong calon mewakili parti kerajaan demi kesinambungan pembangunan untuk kepentingan mereka.

“Di Sabah kita memerlukan POLITIK PEMBANGUNAN. Kita mahu menyokong kerajaan untuk membantu rakyat terutama kawasan-kawasan yang memerlukan pembangunan.

“Sabah masih jauh ketinggalan terutama pembangunan di kawasan luar bandar. Justeru dengan adanya Wakil Rakyat dari parti kerajaan, maka pembangunan untuk rakyat dapat dirancang dan direalisasikan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Sebaliknya Barisan Nasional (BN) dan UMNO kini adalah parti pembangkang. Calonnya tidak dapat membawa apa-apa pembangunan ke kawasan Kimanis sekiranya pengundi Kimanis memilih BN”, katanya.

Hajiji berkata demikian pada Program Bersama Rakyat dan Lawat Rumah Ke Rumah anjuran Srikandi BERSATU Sabah di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lumat dan PDM Mawao di sini, pada Selasa.

Beliau bersama Wakil Rakyat dan pemimpin BERSATU Sabah giat berkempen membantu Karim bagi memastikan kemenangan Warisan dalam PRK Parlimen Kimanis.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, sebagai parti pembangkang BN dan UMNO di Sabah tidak mampu membela dan membantu rakyat.

Sebaliknya kata beliau, calon BN dan pemimpin UMNO hanya dapat membuat janji-janji manis yang tidak dapat mereka tunaikan kerana mereka bukan dalam Kerajaan.

“Apa yang pembangkang boleh buat untuk rakyat Kimanis sekiranya diberi mandat? Yang nyata pada masa sekarang BN dan UMNO tidak mampu membawa apa-apa perubahan untuk rakyat dan kawasan parlimen Kimanis.

“Justeru saya mengingatkan rakyat Kimanis agar pentingkan masa hadapan. Pilihlah calon Warisan kerana hanya Wakil Rakyat dari parti Kerajaan sahajalah yang mampu mengubah keadaan dan membela nasib rakyat”, tegasnya.

Hajiji berkata, pada PRU 14, rakyat telah menentukan keadaan politik dengan mengubah kerajaan lalu. Tentu ada sebabnya kenapa kerajaan lalu yang sudah lama memerintah negara ini ditumbangkan oleh kuasa rakyat.

“Dalam pilihan raya yang lepas (kerajaan lalu) telah dihukum oleh rakyat dan memilih Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan dan Warisan bagi negeri Sabah,” tegasnya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Warisan dibawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal haruslah diberi ruang dan masa untuk meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat dan negeri Sabah.

“Negeri Sabah perlukan satu perpaduan yang jitu iaitu antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan PH di peringkat Persekutuan, kerana bagi kita yang penting ialah rakyat dan pembangunan ekonomi untuk rakyat”, tambahnya.-pr/BNN