KENINGAU: Sumbangan pendidikan kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi diharap dapat menyuntik semangat golongan muda untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) P.180 Keningau, Datuk Azman Hj Ruslan, berkata pendidikan adalah pelaburan penting bagi memastikan Sabah mempunyai generasi muda berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Katanya, matlamat Kerajaan Negeri adalah memastikan anak muda mendapat akses kepada pendidikan serta sokongan sewajarnya bagi membantu mereka mencapai kejayaan.

“Anak-anak muda yang berilmu dan berkemahiran merupakan aset penting kepada negeri kerana mereka bakal menjadi generasi yang meneruskan agenda pembangunan Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sumbangan Pendidikan PGRS Bahagian Keningau kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi di pejabatnya, di sini, pada Ahad.

Azman berkata, bantuan itu bukan sekadar sumbangan kewangan, sebaliknya tanda keprihatinan terhadap usaha anak muda melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berharap semua penerima memanfaatkan peluang pendidikan sebaik-baiknya serta terus berusaha mencapai kecemerlangan demi masa depan diri, keluarga dan negeri Sabah.

“Semoga sumbangan ini dapat memberikan semangat dan dorongan kepada semua bakal mahasiswa dan mahasiswi untuk terus berusaha mencapai cita-cita,” katanya.-pr/BNN