KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mendapati ketiga-ketiga nama pengadu di dalam laporan berkenaan bukan ahli Pertubuhan Peladang dan sekaligus bukan penerima baja di bawah skim baja subsidi Kerajaan.
Kenyataan akhbar itu maklum balas kepada berita borneonews.net bertajuk ‘Baja padi bersubsidi dibekal NAFAS tidak sampai kepada petani di Sabah’.
Menurutnya, NAFAS tidak menerima sebarang laporan aduan mengenai kelewatan pembekalan baja daripada ketiga-tiga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seperti dalam laporan berkenaan.
“Untuk makluman, terdapat 4,140 ahli peladang di bawah PPK Kota Belud, 1,332 ahli PPK Kota Marudu dan 463 ahli PPK Papar, Sabah yang sah berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).”
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa isu yang dibangkitkan ini merupakan kes terpencil, namun NAFAS sentiasa mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan kesemua ahli Peladang yang berdaftar di bawah Pertubuhan Peladang menerima baja mengikut musim dan tempoh masa yang ditetapkan.
NAFAS merupakan Pertubuhan yang berdaftar di bawah Pertubuhan Peladang dan bertanggungjawab bagi menyediakan serta membekalkan baja di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Baja NPK Tambahan di bawah Skim Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB). -pr/BNN