KENINGAU : Persatuan Hakka Keningau menyambut baik komitmen Republik Rakyat China untuk memperkukuh kerjasama dengan Sabah dan Labuan yang dilihat mampu membuka peluang baharu dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Presidennya merangkap Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, berkata kesediaan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu untuk bekerjasama dengan semua sektor di Sabah dan Labuan mencerminkan hubungan Malaysia–China yang semakin kukuh serta strategik.
“Kami melihat perkembangan ini sebagai peluang positif untuk memperkukuh jaringan perdagangan serta kerjasama ekonomi antara Sabah dan China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada ucapan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Dr Zhu Xinglong, pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Konsulat Jeneral China di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Menurut Dr Zhu, China akan terus memajukan hubungan China–Malaysia serta kerjasama China–Sabah secara stabil menuju era baharu yang digelar sebagai “Golden 50 Years” dalam hubungan dua hala.
Beliau turut menjelaskan bahawa 2026 menandakan permulaan Rancangan Lima Tahun ke-15 China dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13, yang membuka peluang penyelarasan strategi pembangunan antara kedua-dua pihak.
Tambahnya, visi pembangunan China juga selari dengan pelan pembangunan negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Menurut data rasmi, perdagangan dua hala China–Malaysia mencecah AS$191.66 bilion pada 2025, menjadikan China rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut.
Pertukaran Rakyat Perkukuh Hubungan
Kapitan Anthony berkata hubungan kedua-dua negara turut diperkukuh melalui pertukaran rakyat ke rakyat, peningkatan pelancongan serta kerjasama ekonomi.
Menurutnya, pelaksanaan pengecualian visa bersama telah mempercepatkan hubungan rakyat ke rakyat antara kedua-dua negara.
Ketika ini, sebanyak 716 penerbangan beroperasi setiap minggu antara China dan Malaysia, manakala 4.77 juta pelancong China melawat Malaysia pada 2025, dengan kira-kira 690,000 memilih Sabah sebagai destinasi pelancongan.
Ekonomi China Terus Kukuh
Dalam pada itu, Dr Zhu berkata ekonomi China terus menunjukkan prestasi kukuh apabila KDNK negara itu melepasi 140 trilion yuan pada 2025, meningkat sekitar lima peratus berbanding tahun sebelumnya.
China juga mencatat kemajuan dalam inovasi dengan lebih lima juta paten ciptaan aktif, selain perkembangan pesat dalam teknologi AI, kenderaan tenaga baharu, 5G dan penyelidikan 6G.
Selain itu, China kekal sebagai rakan dagang utama kepada lebih 150 negara dan wilayah di dunia.
Kapitan Anthony berkata hubungan erat Malaysia dan China, khususnya di Sabah, telah lama terjalin melalui perdagangan, pendidikan dan interaksi budaya.
“Hubungan erat Malaysia dan China bukan sekadar diplomasi, tetapi jambatan peluang yang membuka masa depan ekonomi lebih luas kepada Sabah,” katanya.-pr/BNN





